Kali ini, nama Karnival PERUBATAN 2008 dipilih untuk mewujudkan konsep yang berlainan dalm sejarah Hari Keluarga pada tahun ini.
SEJARAH
Hari Keluarga PERUBATAN bermula beberapa tahun dahulu dengan hanya diadakan secara kecil-kecilan dan hanya berlangsung selama sehari sahaja. Seiring dengan peredaran tahun, dan pertambahan bilangan pelajar, bilangan acara juga telah ditambah, menyebabkan Hari Keluarga diadakan selama tiga hari.
Karnival PERUBATAN kali ini terus mengekalkan ciri-ciri Hari Keluarga dengan pertandingan permainan dalaman dan luaran seterusnya acara kemuncak sukaneka pada hari terakhir. Seperti biasa, antara acara popular adalah catur, dam haji, bola tampar, bola jaring, dan futsal yang menyaksikan persaingan sengit untuk merebut kejuaraan, samada merampas gelaran juara ataupun mengekalkan gelaran juara bertahan.
Walaupun tahun ini adanya beberapa acara yang digugurkan akibat kekurangan wakil ataupun tidak memenuhi piawaian yang diingini, namun Karnival PERUBATAN telah memperkenalkan beberapa acara baru. Sebagai contoh, acara balapan – 100m, 400m, 4x100m, 4x400m dan 1500m telah dinamakan sebagai acara permainan luaran kali pertama diadakan tahun ini, sekaligus menamakan pemenang acara tersebut sebagai pemegang rekod PERUBATAN.
KENAPA KARNIVAL?
Idea karnival mula diutarakan oleh pengarah program, Mohd Faizal Nor Azmi dalam mesyuarat pertama AJK pelaksana Hari Keluarga PERUBATAN pada 22 Disember yang lalu. Antara lain beliau menyebut beberapa perubahan yang akan dilaksanakan agar Hari Keluarga kali ini lebih berkonsepkan Karnival.
Disebabkan kegawatan ekonomi, Hari Keluarga tahun ini hampir tidak mendapat sebarang peruntukan dari pihak luar. Namun beliau datang dengan idea yang lebih ekstrem dan berisiko semata-mata untuk mendapat tajaan daripada organisasi ternama di Mesir dan Malaysia. Sekaligus menukar pemikiran warga perubatan selama ini daripada ‘menunggu duit’ kepada ‘mencari duit’.
Hasil kesungguhan beliau dan AJK pelaksana yang lain, Manyalawi Engineering dan Al-Attal Brothers bersetuju untuk menaja lebih kurang LE7000, daripada keseluruhan kos karnival yang berjumlah lebih LE10000. Sudah tentu duit tersebut tidak datang melayang, namun dengan beberapa strategi pemasaran yang telah dibentangkan kepada wakil syarikat tersebut.
Selain itu, nama ‘karnival’ dipilih kali ini dengan satu lagi percubaan PERUBATAN mengadakan satu program yang tidak terhad untuk warga perubatan sahaja, malah untuk semua warga pelajar di Mesir, iaitu mengadakan gerai jualan, setelah kejayaan Seminar Ibadah Pesakit pada tahun lepas. Walaupun kelihatan biasa sahaja, ini adalah antara kejayaan besar Biro Ekonomi yang diketuai Mohd Hafzi Abdul Hamid, di samping memperkenalkan beberapa produk terbaru PERUBATAN.
BUKAN SEKADAR PERTANDINGAN
Namun yang lebih penting adalah matlamat karnival untuk mempertemukan warga perubatan di Mesir ini, beramah mesra, bertegur sapa antara satu sama lain. Maka pertandingan adalah salah satu cara untuk mencapai tujuan ini.
Suatu ketika dahulu, bilangan pelajar yang sedikit menjadikan hampir semua pelajar turun ke karnival dan menyertai pertandingan yang diadakan. Pada ketika itulah si ulat buku memunculkan diri. Ketika itulah si kaki bangku menyentuh bola. Saat itulah si kera sumbang bertegur sapa.
Teringat kembali perbincangan saya dengan seorang abang tahun 6 Universiti Kaherah. Mengimbas kehidupan mereka muda-muda dahulu, jika mereka bermain bola tidak kiralah di hari keluarga atau permainan biasa, mereka yang kerap memegang bola ialah mereka yang paling tidak mahir sekali bermain bola. Begitulah cara mereka meraikan kelemahan dan kelebihan seorang kawan. Namun kini, suasananya sudah jauh berbeza. Rata-ratanya bermain hanya bermatlamatkan menang sahaja, sekaligus meminggirkan mereka yang tidak mampu bermain dengan baik. Lantas, medan jalinan ukhuwah yang terbina tergadai begitu sahaja. Adilkah kita untuk bersikap demikian? Atau adakah di kalangan kita sendiri yang memandang rendah soal persahabatan ini?
Disebabkan ini jugalah karnival kali ini lebih bersifat ‘menyediakan’ 2 tempat untuk kontinjen Mansurah, daripada ‘mewajibkan’ 2 kontinjen dari Mansurah. Namun kesan sampingannya tetap ada di mana terdapat beberapa acara yang tidak memenuhi kuota lantas menyukarkan pihak urusetia menetapkan jadual dan format perlawanan.
Berjaya atau tidak Karnival PERUBATAN yang diadakan selama tiga hari pada tahun ini bukannya persoalan utama, namun karnival kali ini menjadi bukti kemampuan PERUBATAN mengadakan program mega, bersesuaian dengan nama ‘persatuan’, bukannya ‘badan kebajikan’ lagi. Malah perubahan dan pembaharuan yang dibuat kali ini, bakal menjadi perintis kepada Hari Keluarga yang akan datang.
Artikel ini telah disiarkan dalam majalah TIBBians03 Februari 2008 di bawah kolum Fokus. Penulis adalah Muhammad Hafiz Adam, pelajar tahun dua Fakulti Perubatan Universiti Kaherah.
0 penghinaan diterima:
Post a Comment