Sayeda Zainab, 29 Februari – Seorang pelajar perubatan Mansurah terjatuh dari tingkat lima sebuah bangunan malam tadi. Ahmad Dicomarol, pelajar perubatan tahun tiga Universiti Mansurah meninggal dunia di tempat kejadian. Jenazah arwah dibawa ke Hospital Kasr el-Ainy untuk bedah siasat. Punca dan sebab tragedi dikatakan kerana kemalangan. Pihak polis masih menahan beberapa pelajar untuk siasatan lanjut. –PERUBATAN-today
29 Februari, jam 2205
Kaki lima Syari’ Mubtadiyan kelihatan sibuk walaupun malam telah lama melabuhkan tirai. Dingin musim sejuk terasa hingga ke tulang, ditambah dengan angin malam yang menderu namun pejalan-pejalan kaki masih ramai berjalan kaki ke destinasi masing-masing, tidak menghiraukan keadaan sekeliling. Kenderaan lalu lalang tidak putus-putus, dengan teriakan tremco dan hon-hon teksi. Syari' Mubtadiyan tersebut sememangnya jalan utama yang menjadi laluan tremco dan bas dari Sayeda Zainab terus ke Mounira dan Abu Risy.
Tiba-tiba kedengaran jeritan kecil, sebelum kaki lima Syari’ Mubtadiyan dibasahi darah pekat. Seorang lelaki terbaring menggelepar kesakitan, akhirnya kaku dalam kedinginan malam. Orang ramai berteriak, beramai-ramai memenuhi tempat kejadian umpama semut mengerumuni lipas mati. Beberapa Arab berbincang sesuatu sambil menuding jari ke atas. Seolah-olah memberitahu orang lain bahawa si mati jatuh dari atas bangunan itu. Terdongak-dongak makcik-makcik Arab mencari tempat jatuh si mati, sambil mengelak serpihan kaca lampu pendarfluor berhampiran si mati.
Jauh di tingkat atas, kelihatan seorang lelaki dan perempuan memandang ke bawah dari balkoni. Lelaki itu menoleh ke arah si perempuan, dengan tangan yang masih menggeletar.
29 Februari, jam 2135
Tyffa menekan punat telefon bimbitnya, mematikan talian. Dia berlunjur di dalam bilik, melegakan kepenatan yang dialami. Tiba-tiba loceng pintu rumahnya berbunyi, mengeluarkan suara burung. Bunyi yang biasa digunakan untuk rumah-rumah di Mesir.
Tyffa kehairanan. “Cepatnya dia datang. Baru 5 minit, dah sampai?”
Dia mengenakan tudung dan membuka pintu biliknya. Ruang tamu dibahagian depan gelap, bersama bilik-bilik lain yang tidak berpenghuni. Teman serumahnya belum pulang dari tuisyen subjek Matematik. Hanya biliknya sahaja yang agak tersorok ke belakang, berdekatan dengan dapur. Bilik lain berada di ruang depan.
Tyffa membuka pintu rumahnya. Kelihatan seorang lelaki Asia menanti dengan sejambak bunga di tangan. Tyffa tersenyum malu bercampur terkejut.
* * * * *
Nawfas mengenakan kasut Nice merahnya. Zalee yang melihatnya kehairanan.
“Kamu berhias di tengah malam kenapa? Mentang-mentang presiden, sibuk memanjang dengan mesyuarat.”
“Ada perempuan minta tolong baiki lampu, aku sebagai presiden yang berkaliber mestilah berusaha sedaya upaya untuk memenuhinya,” jelas Nawfas.
“Macamlah esok tak boleh baiki, tengah malam juga nak dibaiki. Perempuan memang menyusahkan,” balas Zalee sambil berlalu ke biliknya.
Nawfas tidak kisah. Yang penting, yang meminta pertolongannya adalah seorang perempuan comel bernama Tyffa. Sungguh gembira diberi peluang memberikan bantuan, dia tidak teragak-agak untuk menjawab “Ya” biarpun pada jam 1 pagi.
“Aku pergi dulu!” Jerit Nawfas. Dia menutup pintu dan menuruni tangga.
Rumahnya berdekatan dengan rumah Tyffa. Jika berjalan dengan pantas, cuma mengambil masa lebih kurang 5 minit.
Spontan matanya beralih ke arah kedai bunga di seberang jalan. Fikirannya menerawang membayangkan reaksi Tyffa kalau dia membeli bunga sebagai buah tangan sambil tersenyum seorang diri bagai orang gila seks.
29 Februari, jam 2015
Dicomarol membawa pinggan mangkuk keluar dari bilik 967 menuju ke tandas. Dewan Melayu Abbasiah Kaherah yang lebih dikenali dengan nama Asrama Rumah Anak Melayu sememangnya menempatkan pelajar di situ, lebih kepada konsep asrama. Tandas merupakan tempat yang istimewa untuk mencuci pinggan mangkuk selain bilik pantri.
Hari itu dia berkesempatan menghadiri jamuan kecil-kecilan bersama junior-junior dari sekolah lamanya yang baru tiba di Mesir. Sekurang-kurangnya pertemuan seperti itu boleh menghubungkan silaturrahim di samping bertukar-tukar cerita dan gosip sensasi. Tambahan pula, dia sudah lama tidak pulang ke Malaysia, belum pernah walau sekali sepanjang 3 tahun belajar di Mesir.
Selesai mencuci pinggan mangkuk, dia meminta diri untuk pulang awal disebabkan dia belajar di Mansurah, bukannya Kaherah. Perjalanan pulang mungkin mengambil masa yang lama, ditambah pula dia perlu mengambil tremco di Mubarak, beberapa puluh minit perjalanan dari situ.
Melangkah keluar dari bangunan 40 tingkat itu, Dicomarol teringat sesuatu. Jam tangannya dilihat sekilas lalu, "Baru 8.40, ada masa lagi." Tiba-tiba dia tersenyum keji. Berlari-lari anak dia menuju ke jalan utama dan menahan sebuah teksi.
29 Februari, jam 2150
Tyffa membuka pintu rumahnya. Nawfas tersenyum di muka pintu. Tyffa teragak-agak untuk mempelawa Nawfas masuk.
“Maaf lambat, beli lampu sekejap,” Nawfas memulakan perbualan. DIa menunjukkan lampu pendarfluor panjang di tangannya. Tyffa mengangguk.
Ruang tamu rumah tersebut bergelap kerana lampunya terbakar. 15 minit yang lalu dia menelefon Nawfas untuk membaiki lampu tersebut. Entah kenapa dia terasa lampu tersebut perlu dibaiki secepat mungkin.
“Tyffa! Sini sekejap!”
Suara lelaki dari dalam rumah perempuan itu mengejutkan Nawfas. Mukanya berubah. Secara tiba-tiba dia mengesyaki sesuatu. Api cemburu menguasai fikirannya. Lampu pendarfluor diletak di atas lantai. Dia menolak pintu rumah dan terburu-buru masuk. Tyffa beralih ke tepi memberikan ruang. Wajahnya kaget.
Nawfas mencari-cari arah suara tadi, bahagian depan yang gelap menyukarkan penglihatannya. Pencahayaan yang ada cumalah cahaya dari luar yang masuk melalui pintu yang terbuka dan dari bilik Tyffa di hujung bahagian belakang. Akhirnya dia menyedari seseorang berada di balkoni rumah tersebut. Tyffa masih lagi kelu tidak tahu ayat yang sesuai untuk diucapkan. Hatinya bimbang situasi tersebut akan disalah tafsir.
Pantas Nawfas meluru melalui bilik dan tembus ke balkoni. Benar sangkaannya, seorang lelaki berdiri di situ di atas kerusi. Pandangan mereka berdua bertembung. Kemarahan Nawfas sukar dikawal lagi lalu dia menarik baju lelaki tersebut sambil menyuruhnya turun dari kerusi. Baginya, apa lagi yang dilakukan seorang lelaki dan perempuan di dalam rumah tersebut dalam gelap?
Setelah ditarik kasar, Dicomarol hilang keseimbangan. Tambahan pula, kerusi tempat dia berdiri bukan kerusi kayu, tetapi kerusi meja komputer. Balkoni yang kecil itu tidak mempunyai ruang yang cukup untuk dia berpaut. Akhirnya dia jatuh melepasi penghadang.
Nawfas tergamam. Tyffa menjerit lalu meluru ke sisi balkoni. Mereka berdua memandang ke bawah. Dicomarol sudah berada di kaki lima, dikerumuni orang ramai. Nawfas yang tersedar daripada kemarahannya menggeletar. Tyffa sudah mula pucat dan teresak-esak mengalirkan air mata.
29 Februari, jam 2140
Tyffa membuka pintu rumahnya. Kelihatan seorang lelaki Asia menanti dengan sejambak bunga di tangan. Tyffa tersenyum malu bercampur terkejut.
“Surprise!” ujar lelaki tersebut. Dia menghulurkan bunga ros 11 kuntum kepada Tyffa.
“Tyffa mesti tak sangka saya datang kan?” Dicomarol bertanya dengan gaya gedik. Perempuan di hadapannya mengangguk. Dia tertanya-tanya bagaimana Dicomarol boleh tiba di rumahnya pada malam itu.
“Hari ini ada pertemuan dengan kawan-kawan di Dewan Melayu Abbasiah Kaherah. Jadi, saya rasa tak salah membuat kejutan sekejap untuk teman perempuan saya. Jam 11 masih ada tremco ke Mansurah kan?” Dicomarol menyambung. Tyffa merasa terharu. Bunga di tangannya dihidu. Wangi.
"Kenapa tak telefon dulu?" Soal Tyffa. Dia menyandar di sisi pintu.
"Kalau telefon, di mana keterujaan surprise tersebut?" Jawab Dicomarol. Mereka tergelak.
“Eh, kenapa bergelap? Orang lain tidak ada di rumah ke?” soal Dicomarol. Dia perasan ruang tamu rumah tersebut bergelap. Lebih menghairankan adalah bilik lain turut sama bergelap. Tyffa membuka pintu luas sambil menjelaskan lampu ruang tamu yang terbakar.
“Balkoni ada lampu pendarfluor, tapi tidak digunakan. Tak tahu kenapa Arab pasang lampu di balkoni. Memang mereka tiada kerja ataupun lampu itu bertujuan untuk digunakan sewaktu menjemur baju di ampaian pada waktu malam,” beritahu Tyffa sambil ketawa. Dicomarol melangkah masuk setelah ditunjukkan oleh Tyffa kedudukan balkoni tersebut. Perempuan itu sudah terlupa Nawfas yang dihubunginya tadi setelah teman lelakinya menawarkan diri untuk membantu.
“Maka, kita tukar lampu ini dengan lampu ruang tamu. Boleh?” Soalan lelaki itu tidak dijawab. Sebaliknya Tyffa mencadangkan Dicomarol mencuba saiz lampu tersebut terlebih dahulu. Dicomarol menarik kerusi meja komputer sebelum dihalang oleh Tyffa.
“Bahaya, nanti jatuh.” Tyffa tidak setuju Dicomarol menggunakan kerusi tersebut. Dia melangkah keluar dari bilik untuk mengambil kerusi lain. Waktu itu, loceng rumahnya berbunyi sekali lagi.
1 Mac, jam 1200
Nawfas masih berteleku di sisi kubur Dicomarol. Jenazah Dicomarol dikebumikan pagi tadi dan beliau tidak disabitkan dengan apa-apa dakwaan. Walaupun tragedi itu adalah kemalangan disebabkan sikapnya yang terburu-buru, namun dia tetap menyalahkan dirinya sendiri.
Kadang-kadang cemburu menyebabkan manusia tidak berfikiran rasional. Sedangkan kalau Dicomarol tidak berada di situ dan dia yang membaiki lampu, situasi yang sama tetap berlaku; seorang lelaki bersama dengan seorang perempuan di dalam satu rumah yang tertutup.
Tapi apakan daya, nasi sudah menjadi bubur.
Cerita ini hanya rekaan. Tidak ada sebarang kaitan dengan yang telah hidup atau yang masih meninggal dunia. Semua nama manusia dan tempat adalah rekaan semata-mata, tidak semestinya wujud di bumi Mesir ini.
Nota:
Al Fatihah buat arwah Ahmad Sarhan Ahmad Khan yang meninggal dunia pada 11 Mac lalu. Klik untuk berita lanjut dan kenyataan rasmi.
Cerita ini diilhamkan daripada tragedi, persamaan yang disengajakan mungkin hanya pada keratan berita di atas sekali. Selain daripada itu, segalanya hanyalah rekaan. Sebarang keji makian amatlah dialu-alukan.
Pengajaran cerita ini:
1. Lelaki janganlah bertandang ke rumah perempuan di waktu malam. Walaupun perempuan tersebut adalah awek anda.
2. Perempuan pula janganlah mengajak lelaki ke rumah di waktu malam. Lebih-lebih lagi apabila anda berseorangan. Walaupun lelaki tersebut adalah presiden yang terkenal dengan kealimannya.
3. Sila ber-couple secara Islamik. Jika tidak, sila menjadi gay.
4. Kesabaran itu sangat penting dalam semua perkara. Jangan-terburu-buru cemburu.
p/s: Cerita ini lebih 350 perkataan dan kurang 1000 perkataan. Bolehkah dihantar ke pertandingan The Zikr atau Medicophilic Week? XD
5 penghinaan diterima:
erm...kalu yg berkenaan bca cerita ni..
mst terasa ati..
sape yang terasa hati? budak ni? XD
cerpen dan karya semuanya diilhamkan dari peristiwa sekeliling. kadang-kadang berita cuma pendek, tapi penulis tersohor mampu mencipta sebuah novel daripada keratan akhbar tersebut.
maka, apa yang perlu diterasakan?
xpe..usah dibahaskan pe yg dh berlaku..
sma2 amek pngajaran..
allahyarham ahmad sarhan, senior sy time skolah menengah dlu..
x sangka dh smpai ajal..
Pengajaran di akhir cerita tu menarik,
"1. Lelaki janganlah bertandang ke rumah perempuan di waktu malam. Walaupun perempuan tersebut adalah awek anda.
2. Perempuan pula janganlah mengajak lelaki ke rumah di waktu malam. Lebih-lebih lagi apabila anda berseorangan. Walaupun lelaki tersebut adalah presiden yang terkenal dengan kealimannya.
3. Sila ber-couple secara Islamik. Jika tidak, sila menjadi gay.
4. Kesabaran itu sangat penting dalam semua perkara. Jangan-terburu-buru cemburu."
Walaupun penutup cerita tak berapa nak best.
Post a Comment