10 June 2009

Merentas Neraka, Untuk ke Syurga

Kisah ini hanya rekaan untuk hiburan, sambungan entry sebelum ini: Kekejian Demi Kebaikan.

Maka tersebutlah satu kisah di sebuah pulau bernama Pulau Malizia. Berpegang teguh dengan agama turun temurun, agama Intelek. Letaknya di tengah lautan, pantai memutih bersih. Malah cukup kaya dengan hasil galian dan tanaman. Dihubungkan pula pulau tersebut dengan Semenanjung Kuasa oleh Jambatan Raja-raja.

Jambatan Raja-raja merupakan penghubung utama Pulau Malizia dan Semenanjung Kuasa. Uniknya, Jambatan Raja-raja umpama sebuah laluan berdindingkan kota. Lengkap dengan pengawal dan segala macam polis.

Ingin dijadikan cerita, lantaran banyaknya sumber bumi dan mineral galian, datanglah segerombolan manusia berkulit putih, berjambang perang, dan berbangsa Omputih menyerang Pulau Malizia.

Diruntuhkan Jambatan Raja-raja. Bertempiaran lari manusia Jambatan Raja-raja ke Pulau Malizia. Yang hanyut ke Semenanjung Kuasa ditawan bangsa Omputih. Seberang sudah dikuasai, giliran pulau pula ditakluki.



Armada Omputih dikuasai Alphonse de Fullmetalkaki siap siaga merancang segala. Diserang rakyat Pulau Malizia. Tanpa sokongan dari Semenanjung Kuasa, Pulau Malizia jatuh lemah. Akhirnya tewas dirampas bangsa Omputih.

Habis mineral galian dan tanaman dirampas diangkut ke atas kapal besar bernama Jah Jahan. Diulang-alik dari Pulau ke Semenanjung Kuasa. Alphonse de Fullmetalkaki hanya ketawa melihat kejayaan merampas Pulau Malizia.

Lama kelamaan bekalan makanan semakin habis. Galian dan mineral habis dikaut. Pulau Malizia jatuh miskin. Kebuluran berleluasa. Pemberontakan di mana-mana. Rakyat Pulau malizia berpecah dua. Yang belot, pergi mengangkut galian untuk bangsa Omputih. Yang masih setia, bersabar memakan ubi batotis.

Lautnya indah tapi dikelilingi Jerung Putih dan Harimau Laut. Tiadalah mampu rakyat Pulau Malizia ke Semenanjung Kuasa mendapatkan sumber makanan dari seberang dengan bot atau berenang, semuanya bakal mati lemas atau dimakan pemangsa.

Akhirnya armada Omputih pulang bersama galian di dalam kapal besar Jah Jahan. Lantaran kesian kerana kebuluran, Alphonse bertindak kononnya baik. Beliau bina jambatan baru. Jambatan Sikramode.

Uniknya masih sama, dindingnya umpama kota. Cumanya kota itu diduduki penzina seksi. Rangka dari tulang anjing. Bertarkan daging babi. Pelacur murahan berkeliaran sana-sini. Lampu dari botol arak, signboard berlabelkan judi.

Diserahkan Jambatan Sikramode pada rakyat yang berjasa mengangkut mineral. Bergembiralah golongan pembelot Pulau Malizia. Dikawal ketat satu-satunya laluan Semenanjung Kuasa dan Pulau Malizia. Tapi kecewa kerana makanan asasi nasi sahaja dibenarkan masuk. Vitamin Akhlak disekat. Yang berbaki di sisi rakyat Pulau Malizia hanya Vitamin Budaya dan Vitamin Kahwin. Vitamin Cinta diimport tapi telah berubah komposisi kimia, Vitamin Couple. Rakyat semakin kebuluran, sesak keracunan kevitaminan.

Maka bangkit seorang pemuda dari golongan agama. "Kami golongan Pejuang Intelek Malizia akan pergi meredah Jambatan Sikramode ke Semenanjung Kuasa," laung mereka. Sebilangan alim-alim yang lain menggeleng kepala.

"Tuhan! Apakah itu kamu yang berkata-kata? Kamu dari Pejuang Intelek Malizia? Pemimpin tinggi lagi ilmuwan Pejuang Intelek Malizia? Kamu tahukan Jambatan Sikramode penuh maksiat! Menyentuhnya sahaja sudah haram! Udaranya tercemar najis babi dan anjing, suasananya penuh pelacuran!" laung satu suara dari belakang. Alim-alim yang tadi menggeleng-geleng kini mengangguk-angguk.

"Maka adakah kamu ingin terus hidup begini? Jika kita ke Semenanjung Kuasa, kita boleh mendapatkan bantuan," hujah pemuda pertama.

"Tuhan, Tuhan! Ingat Tuhan ya Akhi! Memijak jambatan itu sahaja umpama menjejak neraka! Apa Akhi tidak takut ke neraka?"

"Kami tidak sanggup melihat rakyat Pulau Malizia terus begini. Kita kekurangan Vitamin A! Malah muda-mudi diracun Vitamin C palsu. Sampai bila kita harus begini?"

"Bagaimana kalau Akhi kecundang di tengah jalan? Jambatan itu penuh dengan godaan nafsu yang mampu menggoncang iman kamu semua, wahai golongan Pejuang Intelek Malizia!" Lelaki di belakang masih cuba melarang.

Lelaki pertama terdiam. Tangannya digenggam, gigi digertap. Rasa pedih dengan kebenaran dan hakikat.

"Kita mesti hancurkan Jambatan Sikramode! Kita bina kembali Jambatan Raja-raja... Tidak, kita bina jambatan yang lebih agung, Jambatan Syawamurah sebagaimana zaman kegemilangan agama kita dahulu!" Lantang lelaki di belakang berkata-kata. Seperti yang dijangka dari seorang pemimpin Pejuang Pembebasan.

"Kamu benar, tapi bagaimana kita ingin membina Jambatan Syawamurah mulia itu? Semua bahannya berada di seberang, kita tidak punyai apa-apa di sini." Balas Pejuang Intelek Malizia.

"Kita wajiblah mengikut cara Pengasas agama Intelek kita, meminta izin ke Semenanjung Kuasa daripada pengawal Jambatan Sikramode. Aku yakin, jika kita ikhlas kerana Tuhan, maka Tuhan pasti membantu. Tapi bukan sekali-kali melalui Jambatan Sikramode yang bernoda itu."

"Adakah pengawal Jambatan Sikramode akan membantu kamu? Jika kamu tidak ingin melalui Jambatan Sikramode, maka bagaimana kamu ingin ke Semenanjung Kuasa?"

"Kita minta mereka sediakan kapal untuk kita berangkat, kita minta mereka sediakan kapal terbang untuk menyeberang."

Pemimpin Pejuang Intelek Malizia menggeleng-geleng. Keluhan kasar terkeluar. Mana mungkin Pembelot Bangsa akan menyediakan semua itu!

Perbincangan belum berpenghujung, mesyuarat golongan agama sudah berlangsung lebih 12 jam. Akhirnya pemimpin golongan Pejuang Intelek Malizia bangkit.

"Kami akan meredah Jambatan Sikramode. Kami akan tiba di Semenanjung Kuasa. Dan kami akan kembali dengan bantuan Semenanjung Kuasa. Kami akan robohkan Jambatan Sikramode dan bina Jambatan Syawamurah. Kami akan kembalikan hak asasi rakyat Pulau Malizia. Kami tidak akan biarkan anak-anak kami terus kekurangan vitamin sebegini." Golongan Pejuang Pembebasan Intelek menggeleng-geleng.

"Kamu sungguh tidak faham bahasa Malizia! Jambatan itu penuh noda. Pelacur seksi menampakkan lurah dan duit judi menggunung bakal menyesatkan kamu semua!"

"Jika ada di kalangan kami yang terpesong, terpikat masuk ke dinding kota yang dipenuhi maksiat pelacuran dan judi, maka kami akan tinggalkan mereka. Selagi masih ada seorang di antara kami bermatlamatkan Tuhan Agung, maka kami akan berjaya tiba di Semenanjung Kuasa. Kami akan berjaya menyelamatkan rakyat Pulau Malizia!" Tegas Pemimpin Pejuang Intelek Malizia bersuara.

"Matlamat tidak menghalalkan cara! Kamu telah sesat! Kamu akan ke neraka!" Laungan itu bergema di dewan mesyuarat.

"Biarkan kami sesat, kami takkan biarkan anak-anak kami sesat. Biar kami jatuh ke neraka, Kami takkan biarkan anak-anak kami menjejak neraka. Biar kami mati meredah jambatan, kami takkan biarkan anak-anak kami mati kurang vitamin. Ini janji Pejuang Intelek Malizia!" Ujar Pemimpin tersebut sambil berlalu keluar. Pejuang Pembebasan Intelek terpinga-pinga, terdiam kelu.

Pengikut-pengikut Pejuang Intelek Malizia membontoti Pemimpin mereka, menuju ke Jambatan Sikramode, memulakan pengembaraan merentas Neraka, untuk cuba ke Syurga.



Disclaimer: Cerita ini hanya rekaan semata-mata. Tiada kaitan dengan mereka yang telah hidup, atau belum mati. Nama watak, tempat, agama, jambatan, golongan dan haiwan adalah imaginasi penulis, sebarang persamaan adalah kebetulan samada disengajakan atau tidak sengaja.

12 penghinaan diterima:

c's on June 10, 2009 at 7:04 AM said...

Maksudnya dalam

adakah kita sudah mampu untuk berjuang menghadapi cabaran yang amat dasyat untuk masa depan yang lebih baik..

atau

hanya setakat mampu duduk n melihat?

-selalujugatewasdengancubaan*sigh*-

ahya_ijja on June 10, 2009 at 8:26 AM said...

salam alaik..
pak apis..entri kali ni memang makan dalam punya kisah..
simbolik dan ala-ala satira..
apa pun.. Sangat bagus gak cara camni dalam menulis..maklum aje, sekarang ni para blogger pun dgn mudah aja boleh di seret ke mahkamah + saman lagi jika menyentuh mana2 pihak kan?..
Good Job!

ahya_ijja on June 10, 2009 at 8:30 AM said...

hah..saya lagi..
pak apis..sambung cerita ni..

Anonymous said...

mantap.. tp cam keliru gak ckit, baca 2-3 kali, [cba ltak gamba peta ker] bru menarik ckit
hehehehe

best
best,
dan best

lama xdpt bacer cter hafiz

nasrullah_abdulkadir

HafizAdam on June 10, 2009 at 3:38 PM said...

cerpen ini boring2 ditulis. sebab terfikir je.

ramai orang selalu berfikir utk ke Syurga.
tapi tak pernah terfikir bahawa untuk ke Syurga, kamu mesti merentas Neraka.

beberapa kisah dalam ni juga menempelak beberapa pihak. mereka yang perasan, senyap2 dah ye.

=)

madsha on June 11, 2009 at 12:23 AM said...

slm..
pertama kali aku komen kat blog ko..hehe

saje nk iktiraf ni mmg kreatip..haha..bangga tak?..hehe

btw, mengikut kefahaman aku..
cerita ko ni pasal isu kerajaan perpaduan..
betul tak?
ke aku silap paham?

..

HafizAdam on June 11, 2009 at 12:26 AM said...

wrong! haha
teka lagi teka lagi.

Anonymous said...

salam, maaf first time baca blog ini, terpanggil untuk mengkomen...

Betul tu, sometimes, untuk ke syurga perlulah sedikit merentas neraka tu..

tetapi, kenapa pejuang intelek tu menyatakan 'Jika ada di kalangan kami yang terpesong, terpikat masuk ke dinding kota yang dipenuhi maksiat pelacuran dan judi, maka kami akan tinggalkan mereka'..tinggalkan sementara la maknanya ya?

ataupun, berusaha untuk menasihati kembali? tak best juga kalau kawan kita yang baik tinggalkan kita?

saya budak baru belajar, maaf ya kalau ada menyinggung, sekadar ingin tanya.

walau apa-apa pun, satu cerita yang menarik, harus disambung, terigin nak tengok pengakhirannya...

the mujaddid on June 11, 2009 at 6:26 AM said...

alhmdulillah..sgt terkesan..
itulah prkra sebenar yg brlaku..
moga mengalir aura2 dakwah dgn pena-penamu itu..

hasellusiby on June 11, 2009 at 10:19 AM said...

salam...tumpang lalu..siapa minat konspirasi, sejarah melayu yg hilang atau perbincangan sufi, boleh la ke www.nusanaga.blogspot.com

izzahmohammad on June 12, 2009 at 7:26 PM said...

salam..
hehe..

suke lepak kat cni sebulan sekali dua...wat ilang2 bosan..
n dapat manfaat cket sebanyak..

nwae,
hopefully this story will be continued by the author..
tryin to relate this story with the real situation, evn though u said this is just a rekaan semata-mata...

best nk tau ending die,..

Anem Arnamee on June 15, 2009 at 7:12 PM said...

salam ..;)

 

License

This blog by Muhammad Hafiz Adam is official website of Creative Designer and licensed under a Creative Commons Attribution-Noncommercial 2.5 Malaysia License.

You're free to Share (copying, distributing and transmitting) and to Remix (adapting the work) under the following conditions:
a) Attribution;
You must attribute the work by linking back to this blog pr anything similar (but not in any way that suggests that I endorse you or your use of the work).
b) Noncommercial;
You may not use this work for commercial purposes.

Categories

~AkuDarahAnakMalaysia~ Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template