hafizadam: bace yg mudah2 sudah
senang paham
huhu
Hafiz menguap beberapa kali. Hari ini terasa sangat meletihkan. Jam menunjukkan 2355. Dia bercadang untuk tidur awal malam ini. Window Yahoo Messenger ditutup.
Video Converter pada skrin komputer ditatap. Baru 5% selesai. Estimated Time Left 7 hours 48 minutes. Video rakaman Kursus Pengenalan Islam 2 sesi petang sedang diconvert kepada AVI sebelum diedit mana yang patut. Sesi pagi mungkin akan diproses minggu depan.
Slot pada sesi petang diisi dengan Pengenalan Bait Muslim dan Jabatan Keselamatan Sosial Islam (JAKSI), kedua-duanya memakan masa lebih kurang 30 minit. Kemudian disambung dengan sesi Bahas Terbuka di bawah tajuk Keruntuhan Akhlak: Salah Siapa? Hafiz tersenyum mengingatkan sesi Bahas yang dipenuhi aksi melucukan daripada peserta.
Dia bingkas dari kerusi dan menuju ke katil. Lutut kiri masih terasa kebas. Dia terlanggar bumper kereta sewaktu pulang, betul-betul di atas patella. Lebam kebiruan muncul namun dibiarkan. Bukan sesuatu yang perlu dirisaukan. Lampu dipadam. Hafiz merebahkan diri dan menarik selimut biru tua. Akhirnya tenggelam dalam kegelapan malam.
"Wahai Hafiz Adam Azlan!"
Hafiz terjaga. Matanya memandang ke atas. Siling biliknya tampak kabur. Seumpama sedang mengalami efek Swirl dan Gaussian Blur. Sekali lagi suara itu bergema dalam kepalanya.
"Aku memanggil rohmu kembali kepada Tuhan-Mu Yang Maha Esa!"
Kakinya terasa kejang. Dia cuba bergerak. Tangannya cuba memaut sesuatu. Beg di sebelah cuba dicapai. Namun tidak bergerak.
"Ini cuma mimpi! Hafiz! Jaga! Bangun!" Fikirannya melontarkan sangkaan. Dia cuba menampar dirinya namun ia masih tidak bergerak. Tangannya kaku di sisi.
Dadanya terasa sakit. Hafiz mula panik. Sesuatu bergerak menuju ke halkumnya dari bawah. Merentap dan menyakitkan setiap anggota yang berada di laluannya. Torehan pisau? Tidak, ia lebih menyakitkan. Pandangannya masih kabur, berbalam balam kipas siling disimbahi cahaya luar, tembus dari tingkap biliknya.
"Adakah ini bukan mimpi? Hafiz, bangun! Jaga!" Dirinya terasa ingin menangis.
"Allah! Allah! La Ilaha Illallah" Kalimah suci itu diulang berkali-kali. Lidahnya kelu namun hatinya masih bersuara.
Kesakitan semakin terasa, dari dada akhirnya sampai di halkum. Badannya kejang, kaku tidak bergerak. Suara tadi makin bergema tapi tidak mampu ditafsir fikirannya.
Imbauan dosa silam berputar-putar. Masih belum meminta maaf. Masih belum bertaubat. Masih belum berganti. Masih belum dibayar.
"ALLAH~!"
Hafiz terjaga. Matanya masih memandang ke atas. Siling masih kebiruan disimbah cahaya malap dari luar. Kesakitan tadi hilang.
Mimpi?
Air mata terasa di kelopak mata, lantas dikesat dengan selimut. Dia bangkit dan duduk. Astaghfirullah. Istighfar diucap berkali-kali.
Mimpi?
Masih jelas lagi peristiwa tadi. Jantungnya masih terasa berlari kencang. Betapa takutnya dia ketika itu. Perlahan memeriksa henset di sebelah. Jam 0327. Tangannya terketar-ketar menyingkap selimut.
Menuju ke bilik air mengambil wudhu'.
===NOTES===
sekadar berkongsi pengalaman. maaf tak reti sangat menulis dengan jiwang. facebook kata saya seorang clairvoyant (nampak masa depan) maka bukan sekali saya mengalami peristiwa sebegini. dulu juga sering berlaku pengalaman mistik. rahsia roh dan kematian tiada siapa yang tahu, namun pengalaman boleh dijadikan iktibar untuk pengajaran.
amat menakjubkan bagaimana otak mampu mencipta mimpi sebegini. kajian menunjukkan mimpi adalah hasil daripada pengalaman lalu, tapi tidak pula saya ingat jika ia berkaitan dengan pengalaman lampau kecuali bahagian 'Imbauan Dosa Silam'. lebih menakjubkan lagi kerana latar siling dalam mimpi dan selepas terjaga adalah sama; berbalam kebiruan. sedangkan saya tidur meniarap, apabila terjaga posisi telah menjadi terlentang. kebetulan?
petikan YM di atas adalah dipetik dari Archive, saya tidur 5 minit sebelum anda reply untuk sama-sama tidur. sori neh.
sekian..